arena

Jadikan Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah sehebat Liga M

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PERSATUAN Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menyambut baik cadangan menjadikan kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) sebagai liga seperti Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail berkata, sekiranya cadangan itu direalisasikan ia dapat menjamin kelestarian kerjaya pemain bola sepak wanita yang kebanyakan berstatus amatur dan semi-pro.

"PFAM menyambut baik cadangan menjadikan PTSR berformat liga dan jika dilaksanakan ia akan menjadikan kerjaya sebagai pemain bola sepak wanita ini lebih berstruktur.

"Bila ada liga jangka masa pemain berkhidmat bersama pasukan mereka menjadi lebih panjang dan memastikan karier mereka sentiasa terjaga.

"Pengenalan liga ini juga satu langkah ke arah memprofesionalkan pemain bola sepak wanita," katanya dihubungi semalam.

Cadangan berkenaan disuarakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini.

Beliau dilapor berkata, PTSR adalah platform terbaik untuk pemain bola sepak wanita kebangsaan beraksi dalam perlawanan kompetitif dan ia perlu ditambah baik dengan format liga ‘home and away’ pada masa depan.

Sementara itu, Izham berkata, kajian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dulu untuk menentukan persatuan bersedia atau tidak.

"Kajian menyeluruh penting supaya isu seperti tunggakan gaji (seperti di Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM) tidak berulang.

"Saya percaya dengan semangat Piala Dunia Wanita yang baru berakhir kita dapat lihat potensi bola sepak wanita sangat besar. Mungkin selama ini tidak nampak dan kita juga tidak tandus pemain bola sepak wanita berbakat," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad wanita Kedah, Zulkifli Jaafar turut menyokong cadangan itu yang disifatkan mampu meningkatkan taraf bola sepak wanita Malaysia.

"Nak jadikan PTSR ini berformat liga sangat releven dan kita sokong. Satu sebabnya skuad wanita ini menyertai banyak kejohanan termasuk sukan SEA. Jangan sekadar nak lengkapkan penyertaan dan jadual FAM dengan mengadakan kejohanan berformat 'round robin' untuk tempoh sebulan atau dua bulan saja. Jika ada liga, ada penambahbaikan seperti pemain baru dan sebagainya," katanya.

Pengurus pasukan bola sepak wanita Melaka, Siti Faidul Maisarah Abdullah turut senada dan menegaskan komitment persatuan bola sepak negeri penting bagi menjayakan cadangan itu. "Jika diperhati tempoh kejohanan PTSR tahun ini dipanjangkan sedikit. Konsepnya seakan liga, cuma penyertaan pasukan kurang dan komitmen FA. FAM hanya boleh mencadangkan untuk pembangunan bola sepak wanita.

“Setakat ini kita ada hanya satu piala diiktiraf, sedangkan kita ada banyak kejohanan. Untuk jadikan liga perlu kesedaran bukan saja di peringkat FAM, malah di setiap pengurusan negeri," katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 11:02pm
d