arena

Bolt bidas pelari lelaki Jamaica

Oleh Reuters

LEGENDA Olimpik, Usain Bolt meramalkan atlet lelaki Jamaica berdepan kesukaran pada Kejohanan Dunia di Doha September depan, mendakwa pelari pecut muda negara Caribbean itu kurang disiplin untuk berlatih dan tiada keinginan untuk menang.

Bolt, yang menang lapan pingat emas Sukan Olimpik dan mengetuai Jamaica dalam era keemasan acara pecut berkata, dia berasakan tahap motivasi merosot sejak dia bersara selepas kejohanan dunia di London pada 2017.

“Saya tidak fikir ia akan menjadi lebih baik kerana saya fikir pelari muda ini agak manja,” bekas pelari berusia 32 tahun itu berkata di rumahnya di Kingston hari ini, merujuk kepada sikap mereka terhadap latihan.

“Saya mesti katakan ya mengenainya apabila bercakap mengenai acara pecut di Jamaica dalam kalangan pelari lelaki ketika ini.

“Ketika saya bertanding dulu, saya fikir ada motivasi dan kami bekerja keras dengan tahapnya tinggi, tapi kini saya sudah meninggalkan sukan ini, saya berasakan ia sudah merosot.”

Komen pemegang rekod 100 dan 200 meter dunia itu senada dengan pendapat jurulatih pecut Jamaica, Glen Mills dan Stephen Francis, yang berasakan pelari pecut lelaki negara itu tidak mampu bersaing di tahap tertinggi.

Bolt mengakhiri kempen di London dengan gangsa dalam acara 100m dan mengalami kecederaan hamstring ketika 4x100m berganti-ganti ketika kuartet lelaki Jamaica terlepas pingat buat kali pertama sejak 2005 di Helsinki.

Pelari lelaki Jamaica turut gagal menyinar pada Sukan Komanwel Gold Coast tahun lalu, meraih gangsa dalam kedua-dua 100m individu dan acara berganti-ganti di sebalik saingan tidak kuat.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 11:33am
d