arena

PKNP salahkan benteng rapuh

Oleh Nazri Abu Bakar

BENTENG rapuh menjadi antara faktor PKNP FC tewas 1-2 di tangan Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim berkata, selepas mendahului kubu pasukannya dibocori dua kali menyebabkan mereka gagal membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Melaka.

Menurutnya, selepas mengharungi 20 perlawanan statistik menyaksikan skuadnya hanya mampu kental bertahan selepas mendahului dalam dua perlawanan sahaja tanpa dibolosi untuk mengumpul mata penuh.

“Situasi ini menyebabkan lawan mampu mengatasi defisit jaringan pasukan hingga keputusan seri atau tewas. Begitu juga pada pertemuan malam tadi yang dilihat begitu seimbang di awal babak perlawanan tapi akhirnya kecundang.

“Apa pun yang pasti kemasukan pemain berpengalaman Safiq Rahim pada hujung babak pertama menjadi pemangkin kebangkitan tuan rumah yang beraksi lebih konsisten pada babak kedua,” katanya.

Abu Bakar turut mengakui anak buahnya yang kekurangan pengalaman antara faktor Melaka bangkit meraih mata maksimum.

Pada aksi itu, PKNP mengejutkan tuan rumah seawal minit ke-13 menerusi tandukan Giancarlo Lopes, bagaimanapun rembatan Davy Angan (m-41) dan Patrick Reichelt (m-59) melenyapkan impian pelawat.

Sehubungan itu, Abu Bakar mahu pemainnya segera bangkit dalam dua baki aksi berdepan FELDA United dan PJ City sekali gus berusaha mengelak tersingkir ke Liga Perdana.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 1:13pm
d