arena

Pahang miliki 'penyerang baru'

Oleh Asrol Awang

TIGA gol sumbangan pemain pertahanan ketika menewaskan PKNS FC 3-2 pada aksi Liga Super malam tadi membuktikan Pahang tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada jentera serangan dan tengah.

Penolong jurulatih Ahmad Shaharuddin Rosdi gembira dengan sentuhan jaringan kapten Matthew Davies, Herold Goulon dan Muslim Ahmad.

“Bagi saya, tiga gol disumbangkan tiga pemain pertahanan banyak membantu mengatasi masalah ketumpulan yang dihadapi Pahang ketika ini.

“Kecederaan (Dickson) Nwakaeme ketika ini juga banyak memberi kesan kepada bahagian serangan, tapi secara keseluruhannya, saya bangga dengan semua pemain terutamanya pemain pertahanan yang turut memiliki kelebihan menghasilkan gol.

“Bagi perlawanan selepas ini, saya harap kami boleh berpesta gol jika semua pemain bekerjasama dan tidak terlalu bergantung kepada penyerang,” katanya.

Pada perlawanan malam tadi, pertahanan import Perancis, Goulon membuka tirai jaringan pada minit ke-30 diikuti Muslim (m-42) dan Davies (m-89) manakala dua gol PKNS dijaringkan Kpah Sherman (m-60) dan Gabriel Guerra (m-65).

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 1:33pm
d