arena

Raja kecewa pemain ulangi kesilapan

Oleh Asrol Awang

JURULATIH PKNS FC, Datuk K Rajagobal meluahkan kekecewaan selepas anak buahnya mengulangi kesilapan sama dengan membenarkan lawan menjaringkan gol pada minit terakhir perlawanan.

Kekalahan 2-3 kepada Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi juga adalah kali ketiga kelab dari Selangor itu mensia-siakan peluang untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata.

Bekas jurulatih kebangsaan itu kesal dengan sikap pemain kendaliannya yang sering hilang fokus seperti dalam dua perlawanan terdahulu berdepan Kedah dan Terengganu FC.

“Pemain sepatutnya fokus sepanjang perlawanan dan kebiasaannya pasukan lawan akan menggandakan tekanan dan asakan pada minit akhir perlawanan bagi mencari gol.

“Tapi inilah masalah mereka (pemain) dan terus mengulangi (kesalahan sama) ketika pasukan sepatutnya mengutip mata, tapi akhirnya tewas dan langsung tidak memperoleh sebarang mata,” katanya.

Rajagobal nyata kecewa kerana semangat ditunjukkan anak buahnya untuk bangkit dan menyamakan kedudukan 2-2 gagal dipertahankan.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 2:14pm
d