arena

KL Wipers dapat lonjakan semangat

Oleh Ferzalfie Fauzi

PASUKAN hoki KL Wipers lelaki dan wanita mendapat suntikan semangat untuk menyambung aksi di Liga Hoki Remaja apabila syarikat Fox Marketing bersetuju memberikan penajaan sebanyak RM5,000 hingga RM10,000.

Menurut Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, beliau berbesar hati dengan bantuan diberikan badan korporat berkenaan dan berharap ada banyak lagi pihak tampil berbuat demikian.

"Sokongan diberikan badan korporat ini sangat menggalakkan dan KLHA bangga jika ada syarikat lain menabur lagi menabur bakti serta memberikan apa saja bentuk sumbangan," katanya ketika ditemui media di Majlis Penyerahan Tajaan Kit Latihan KL Wipers hari ini.

Dalam pada itu, Megat Shariman juga berharap KL Wipers mampu beraksi cemerlang di Liga Hoki Remaja dan berjanji akan memberikan imbuhan jika mencatat kemenangan.

"Jurulatih, pemain lelaki dan wanita berada pada landasan terbaik mencatat kemenangan selepas ini. Kami pihak pengurusan baharu sentiasa memberikan sokongan kepada mereka. "Setakat ini pasukan wanita bermain dengan baik, manakala skuad lelaki harus menunjukkan lagi peningkatan," katanya.

Ditanya mengenai kemelut pemilihan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), beliau tidak mahu memberikan sebarang komen lanjut dan hanya menyerahkan perkara itu kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) serta MPM sendiri.

"Saya hendak memberi komen lanjut tidak boleh, hanya setakat menyerahkan perkara ini kepada MPM dan PJS. Keputusan di tangan mereka selepas itu barulah pihak lain boleh melakukan tindakan selanjutnya.

"Bagaimanapun, PJS, Dr Wirdati Mohd Radzi akan melakukan tugas yang baik," katanya yang juga Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA).

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 10:39pm
d