arena

Kuala Lumpur terus derita di dasar liga

Oleh Syazwan Msar

PELUANG Kuala Lumpur untuk keluar daripada zon penyingkiran dilihat semakin sukar apabila gagal meraih tiga mata penting selepas tewas kepada FELDA United 0-2 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur,Cheras, sebentar tadi. Walaupun bermain di tempat sendiri, skuad The City Boy jelas gagal memanfaatkan peluang dengan melakukan kesilapan mudah hingga memberi peluang kepada pasukan kendalian Mohd Nidzam Jamil membawa pulang tiga mata penting.

Pasukan pelawat yang turut memburu kemenangan bagi memintas PKNP FC di tangga kesepuluh liga menyumbat gol pertama menerusi Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal pada minit ke-40.

FELDA terus mengukuhkan kedudukan pada minit ke-63 menerusi jaringan Muhammad Zahril Azri Zabri hasil hantaran Mohammad Khairul Amri.

Peluang terbaik tuan rumah untuk merapatkan jurang gol hadir pada minit ke-53 menerusi penyerangnya Ahmad Fakri Saarani.

Kuala Lumpur seolah hilang arah apabila gagal merencanakan serangan berbahaya ke kubu lawan sekali gus kedudukan kekal 0-2 memihak kepada pelawat hingga tamat perlawanan. Keputusan itu sekali gus menyaksikan Kuala Lumpur yang bakal bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak pada perlawanan seterusnya mengharapakan keajaiban untuk keluar daripada zon penyingkiran apabila berada di kedudukan tercorot liga dengan 14 mata.

Manakala The Fighters pula yang bakal menerima kunjungan PKNP di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka dilihat lebih berpeluang keluar daripada zon penyingkiran jika berjaya menundukkan lawan nanti.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 11:03pm
d