arena

Senegal jangka perlawanan sukar

Oleh AFP

NAIB juara 2002 Senegal dijangka berdepan antara pasukan ‘giantkillers’ Madagascar atau pasukan bergelut, Tunisia yang akan beraksi dalam satu lagi suku akhir esok untuk menempah tiket ke separuh akhir awal pagi Isnin ini di ibu kota Mesir.

“Kami jangkakan perlawanan yang sukar dan pemain saya tidak berputus asa kerana mereka mempunyai mental yang bagus, sangat sabar dan menghormati arahan,” kata jurulatih Senegal, Aliou Cisse selepas skuad itu mencatat kemenangan 1-0 ke atas Benin awal pagi ini.

“Pada peringkat ini dalam kejohanan, sesiapa sahaja boleh kalahkan sesiapa. Kami datang ke sini dengan cita-cita beraksi dalam tujuh perlawanan, dan kami akan bermain semuanya. Kami mahu beraksi di final.”

Jurulatih Benin, Michel Dussuyer berkata: "Saya mahu mengucapkan tahniah kepada pemain dengan cara mereka mengawal cabaran yang cukup sukar ini.

“Pemain pastinya bangga. Mereka membuatkan rakyat di Benin bangga. Dengan skuad ini, kami berjaya melangkah. Sudah tentu, ada kekecewaan namun pemain tidak dapat menyembunyikannya.”

Cisse membuat satu pertukaran kepada pasukan yang menewaskan Uganda untuk mara kelompok lapan terakhir dengan Keita Balde menggantikan rakan pengempur Ismaila Sarr.

Pengendali kelahiran Perancis, Dussuyer pula membuat tiga pertukaran daripada skuad yang mengejutkan Maghribi menerusi penentuan sepakan penalti untuk mara ke suku akhir buat pertama kali.

Khaled Adenon terlepas aksi selepas menerima hukuman penggantungan dan Seibou Mama serta Jodel Dossou berada di bangku simpanan dengan Seidou Baraze, Sessi D'Almeida dan Steve Mounie mengambil tempat mereka.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 9:47am
d