arena

Pique diarah bayar tunggakan, denda RM9.8j

Oleh Agensi/Esme Jo

PEMAIN pertahanan Barcelona, Gerard Pique diarah supaya membayar tunggakan serta denda sebanyak £1.89 juta (RM9.8j) kepada pihak berkuasa percukaian Sepanyol.

Pusat Tribunal Pentadbiran Ekonomi di Madrid mengeluarkan arahan itu berkutan keputusan dibuat oleh Mahkamah Kebangsaan negara itu berhubung pembayaran hak imej antara 2008 to 2010.

Bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu mempunyai hak untuk membuat rayuan kepada Mahkamah Agung.

Pique bagaimanapun tidak membuat sebarang kenyataan terhadap hukuman dikenakan itu.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes berprofil tinggi mengelak cukai di Sepanyol membabitkan Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Jose Mourinho dengan kesemuanya didenda.

Messi membayar denda sebanyak £1.8j (RM9.2j) pada 2016 dan menerima hukuman penjara 21-bulan biarpun hukuman penjara kemudian dikurangkan dengan denda menjadi £227,000 (RM1.1j).

Bekas penyerang Real Madrid, Ronaldo menghadapi penggantungan penjara selama dua tahun sebelum bersetuju membayar denda cukai sebanyak £16.9j (RM87j).

Hukuman dikenakan terhadap Pique, pemenang Piala Dunia itu tiba sebulan selepas isterinya yang juga penyanyi superstar Colombia, Shakira disoal siasat oleh hakim kerana mengelak cukai sebanyak £13j (RM67j).

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 2:02pm
d