arena

Terengganu laung amaran pertahan juara SUKMA

Oleh Malik Muhamad

JUARA bertahan Sukan Malaysia (SUKMA), Terengganu melaungkan keyakinan untuk mempertahankan gelaran itu buat kali keenam apabila temasya itu berlangsung di Johor tahun depan.

Menjelang sukan terbesar negara itu membuka tirainya bermula 11 hingga 19 Julai tahun depan, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengambil inisiatif mengadakan Perhimpunan Kontinjen Terengganu Menjelang SUKMA 2020 di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, malam tadi.

Perhimpunan dihadiri 667 atlet, jurulatih dan pegawai pasukan masing-masing.

Ia dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan hadir sama, Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu.

Wan Sukairi berkata, keyakinan untuk mempertahankan kejuaraan itu berdasarkan sebahagian besar atlet menyumbang pingat pada musim lalu masih lagi layak beraksi tahun depan.

“Menjelang setahun (365 hari) sebelum SUKMA dan belum menamakan secara rasmi ketua kontinjen namun kita bergerak awal menaikkan semangat atlet dalam misi mengekalkan kejuaraan sebagaimana musim lalu.

“Perhimpunan ini penting bukan saja kepada atlet malah jurulatih supaya mereka terus konsisten melatih dan bersungguh-sungguh untuk memberikan hasil yang terbaik kepada Terengganu.

Namun begitu setakat ini kita belum meletak sasaran jumlah emas,” katanya.

Menurut Wan Sukairi, antara sukan yang bakal menjadi lubuk emas Terengganu adalah basikal, kanu dan pelayaran selain 27 lagi jenis sukan yang bakal disertai.

“Kini pelatih sudah berada dalam fasa kedua sebelum fasa ketiga iaitu fasa terakhir membabitkan 30 jenis sukan yang akan kita sertai,” katanya.

Musim lalu, Nur Aisyah Mohamad Zubir muncul atlet paling cemerlang dalam acara berbasikal selepas meraih tujuh emas.

Azreen Nabila Alias pulamengungguli acara 100m, 200m dan 4x100 meter untuk dinobat sebagai Olahragawati selain berjaya memecah rekod baharu dalam acara pecut 100m dengan catatan 11.81s memadamkan rekod Siti Fatima Mohamad pada SUKMA 2008 (11.82s).

Dua lagi rekod baharu dicipta atlet Terengganu menerusi sukan angkat berat, Muhamad Darul Najmi Dollah dalam acara 69 kilogram (kg) clean and jerk dengan bebanan 164kg memadamkan rekod Hafifi Mansor (163kg) juga dari Terengganu.

Atlet menembak Muhammad Qamarul Naim Abu Aziz merekodkan 541 mata dalam acara 50m pistol lelaki memadamkan rekod bersama Jasmi Mohamad Zin dan Muhamad Muthaihir (540 mata).

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 7:04pm
d