arena

MSN 'korek' cerita sebenar dua tekong

Oleh Azlan Muhammad Zain

MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan mendapatkan gambaran sebenar daripada dua tekong emas negara dalam isu pengguguran mereka.

Menurut Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, isu berkenaan dijangka diperhalusi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Atlet bulan depan.

"Kita akan membawa laporan bertulis daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kepada Menteri dan ia mungkin dipersoalkan beliau.

"Sebab itu PSM perlu menyediakan laporan bertulis menjawab tentang pengguguran dua tekong ini. Selain itu, kita turut akan mendapatkan ‘cerita’ dari sudut pemain. Mereka akan mempunyai peluang," jelasnya.

Beliau diminta mengulas mengenai kekecewaan dua bekas tekong emas negara, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak yang mendakwa skim elaun kendalian PSM tidak adil dan telus.

PSM didakwa mewujudkan tiga kategori elaun sejak awal tahun iaitu Cemerlang (RM4000), Kepujian (RM3500) dan Baik (RM2000) selain memotong elaun pemain tanpa alasan yang kukuh.

Malah menurut mereka, terdapat atlet yang mendapat bayaran elaun sama walaupun tidak memenangi pingat di Sukan Asia 2018 sehingga menjejaskan moral rakan sepasukan yang meraih pingat di temasya itu.

Bagaimanapun pada masa sama, Jefri mengakui kuasa sudah diserahkan kepada PSM dalam menentukan elaun kepada atlet kendalian badan induk sepak takraw negara itu.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 9:45pm
d