arena

Barcelona sambar pemain muda berbakat England

Oleh Reuters

BARCELONA memenangi persaingan dengan Paris St Germain bagi menandatangani salah seorang pemain paling berbakat England berusia 16 tahun, Louie Barry dari kelab Championship, West Bromwich Albion.

Media British melaporkan Barry telah pun menjalani ujian perubatan bersama juara Ligue 1, PSG sebelum Barcelona ‘mencurinya’ saat akhir dengan meyakinkan pemain muda itu menyertai mereka di akademi La Masia.

Barry yang berusia 16 tahun bulan lalu menandatangani kontrak tiga tahun dengan Barcelona sehingga 2022 dan akan beraksi bersama skuad B-19 kelab itu. West Brom pula menerima 235,000 pound (RM1.212 juta) sebagai bayaran pampasan.

"(Barry) pemain antarabangsa England Bawah 16 Tahun dan beraksi sembilan perlawanan dengan menjaringkan tujuh gol. Musim depan dia akan beraksi bersama skuad B-19 Barca,” kata jurucakap Barcelona dalam laman web kelab hari ini.

Barry menyertai beberapa pemain muda England yang berpindah ke kelab luar seperti pemain Borussia Dortmund berusia 19 tahun, Jadon Sancho yang menjaringkan 13 gol musim lalu dan 19 bantuan jaringanl dalam semua kejohanan.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 10:53pm
d