arena

Pescao perlu RM3.5 juta semusim

Oleh Saiful Affendy Sapran

"ADA kemungkinan untuk Hafizh (Syahrin Abdulah) ke ONEXOX TKKR SAG Team di saingan Moto2.

"Demikian pendedahan ONEXOX TKKR SAG Team, pasukan yang dikaitkan dengan Hafizh untuk beraksi di Moto2 musim depan selepas kontraknya bersama pasukan MotoGP, Red Bull KTM Tech 3 tidak disambung.

Prinsipal pasukan, Bobie Farid Shamsuddin bagaimanapun berkata, anggaran dana sebanyak RM3.5 juta untuk tempoh semusim diperlukan dalam usaha pihaknya memenuhi impian mendapatkan Hafizh.

Justeru beliau berharap mana-mana syarikat atau individu yang berminat dapat tampil membantunya merealisasikan hasrat itu.

ONEXOX TKKR menjadi penaja bersama untuk pasukan Moto2 itu yang ketika ini menggunakan khidmat Remy Gardner serta Tetsuta Nagashima.

"Kami perlu bersikap realisitik sebab secara jujurnya kami memerlukan dana. Ketika ini saya sedang berusaha untuk mencari dana bagi membolehkan Hafizh bersama kami musim depan.

"Sehingga semalam (kelmarin) selepas kenyataan berhubung Hafizh di akaun facebook pasukan, Alhamdulillah ada beberapa pihak menghubungi saya," katanya.

Bobie yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat telekomunikasi ONEXOX berkata, agak sukar untuk pihaknya memberikan komitmen menaja Hafizh dengan jumlah sebanyak RM3.5 juta setahun itu.

"Memang kami berkemampuan untuk jumlah itu tetapi kami terpaksa mengorbankan pelumba di saingan Cub Prix serta ARRC (Kejohanan Motosikal Asia).

"Saya tak sanggup hanya disebabkan satu pelumba kami terpaksa melepaskan 10 pelumba.

"Sekiranya kami memperoleh sokongan daripada mana-mana pihak, ada kemungkinan untuk merealisasikan 'projek' bersama Hafizh musim depan dan mungkin pada 2021 kita boleh membawa Hafizh ke kelas MotoGP semula," katanya.

Masa depan Hafizh mula mencetuskan persoalan selepas kontraknya tidak disambung dengan pasukannya mengumumkan akan menggunakan khidmat juara Moto3 musim 2016, Brad Binder untuk musim depan.

Pelumba Afrika Selatan itu yang kini beraksi dalam saingan Moto2 bersama Red Bull KTM Ajo, akan bergandingan dengan rakan sepasukan Hafizh ketika ini, Miguel Oliveira pada musim depan.

Justeru itu, banyak khabar angin berlegar bahawa Hafizh kemungkinan besar akan kembali beraksi di saingan Moto2 musim depan.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 5:54pm
d