arena

Azurin azam cipta sejarah buat Melaka United

Oleh Nazri Abu Bakar

PENJAGA gol wanita Melaka United (MU), Nurul Azurin Mazlan yakin skuad terbabit mampu menjulang kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah apabila berdepan Kedah pada aksi final di Stadium UiTM Shah Alam, Ahad ini.

Baginya, final berkenaan kesempatan terbaik buat skuad Hang Tuah mencipta sejarah selepas tewas pada lawan sama di pentas final musim lalu.

Menurutnya, doa keluarga, peminat, selain kesungguhan dan komitmen pemain di samping tunjuk ajar jurulatih dan pengurusan mampu memberi impak besar terhadap perjuangan skuad itu di final berkenaan.

“Apapun saya amat gembira berikutan dapat beraksi buat kali ketiga di pentas final termasuk bersama Sabah sebelum ini.

“Berikutan itu pengalaman terbabit termasuk menyertai skuad negara pada Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan di Sukan SEA 2017 akan diguna sebaik mungkin untuk pasukan.

“Apapun saya menganggap laluan juara tetap berliku berikutan lawan memiliki barisan pemain mantap yang boleh meranapkan impian kami untuk meraih kejuaraan, namun yakin MU mampu melaksanakan tugasan getir terbabit,” kata pemain wanita terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2015 dan 2018 terbabit.

Dia yang juga bekas pelatih Akademi Bolasepak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Socccerkid dilihat yakin dengan kelibat dan persefahaman rakan sepasukan untuk melakar kejayaan manis berkenaan.

Katanya, sokongan peminat setia juga memberi kesan g menarik buatnya dan rakan sepasukan untuk meraih kejayaan di pentas final terbabit.

Musim ini, MU menyenaraikan 13 pemain kebangsaan membarisi pasukan termasuk Shereilynn Elly Pius, Dadreee Rofinus dan Jaciah Jumilis yang masing-masing merekod pencapaian menarik bersama pasukan negara.

Apa yang pasti final berkenaan kali ini kesempatan buat MU menebus kekecewaan sekadar muncul naib juara musim lalu.

Keterangan gambarPix 1- AZURIN… yakin MU juara.STR/NAZRI ABU BAKARPix 2- AZURIN (belakang kanan) bersama pasukan Piala Tun Sharifah Rodziah, Melaka United (MU).STR/NAZRI ABU BAKAR

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 7:02pm
d