arena

MSNT rangka pelan lahir atlet taraf dunia

Oleh Malik Muhamad

MAJLIS Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menyasarkan lebih ramai lagi atlet kelahiran negeri berjaya di pentas dunia bagi mengikut jejak pelumba basikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan pesilat, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang sudah mengharum nama negara.

Malah MSNT juga menyasarkan lebih 50 peratus atlet kelahiran Terengganu berjaya menyarung jersi kebangsaan dalam pelbagai jenis sukan berbanding 43 peratus sebelum ini yang sudah mewakili negara.

Itu harapan menggunung disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Bengkel Pelan Pembangunan Sukan Sepuluh Tahun Terengganu (2021-2030) di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, hari ini.

"Kita merangka satu pelan bertindak selama sepuluh tahun akan datang dalam misi melahirkan lebih ramai lagi atlet bertaraf dunia.

"Bagi pelan sepuluh tahun ini, kita menyasarkan melebihi 50 peratus atlet kita layak mewakili negara di peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA dan dalam pelan ini ia lebih khusus pada setiap bidang sukan berdasarkan apa yang hendak capai.

"Harapan kita juga selepas sepuluh tahun kita boleh hantar lebih dua nama ke peringkat dunia seperti sekarang iaitu Azizulhasni dan Siti Rahmah," ujar Wan Sukairi.

Mengulas lanjut beliau menyatakan pelan ini akan menjadi realistik dan berpijak di bumi nyata apabila semua persatuan sukan mengikut apa yang dirangka secara konsisten dan bersungguh-sungguh.

Sementara itu Panel Kejurulatihan MSNT, Mat Noor Bidin berkata, bengkel yang disertai 43 persatuan sukan itu termasuk e-sport penting bagi memastikan matlamat tidak tersasar.

"Pelan ini dilaksanakan satu persatu mengikut jenis sukan dan ia perancangan strategik 10 tahun akan datang untuk mewujudkan tapak yang kukuh dalam pelbagai jenis sukan di negara ini.

"Komitmen kerajaan negeri, MSNT, persatuan pasukan selain atlet itu sendiri menjadi kunci kejayaan pelan 10 tahun pertama sebelum ini yang bermula 2010," katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 7:14pm
d