arena

TFC sekat hajat Tok Gajah rai gelaran naib juara lebih awal

Oleh Malik Muhamad

HASRAT Pahang muncul naib juara Liga Super lebih awal tidak kesampaian selepas terikat 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Dengan keputusan itu, skuad Tok Gajah yang berbaki dua perlawanan lagi mengutip 37 mata manakala Penyu kekal di tangga ketujuh liga mengumpul 29 mata dengan baki satu perlawanan bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 19 Julai ini di tempat lawan.

Pada awal babak pertama aksi kedua-dua pasukan seimbang dengan beberapa percubaan menarik menerusi penyerang masing-masing namun gagal gagal menembusi gawang.

Memasuki minit kelapan perlawanan, skuad Tok Gajah hampir di depan menerusi rembatan kencang Lazarus Kaimbi dari dalam kotak penalti tetapi bola sedikit melepasi palang gol.

Hasil lambungan cantik Kipre Tchetche pada minit ke-17, skuad Penyu hampir membuka tirai jaringan namun berjaya diselamatkan pertahanan, Muslim Ahmad biarpun penjaga gol, Remezy Che Ros sudah tertewas.

Pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh berpeluang mencetak nama sebagai penjaring gol selepas hanya berdepan penjaga gol, Muhamad Ilham Amirullah Razali pada minit ke-41, namun Ilham lebih pantas menafikan percubaan pemain itu.

Penantian tuan rumah mendapatkan gol akhirnya berhasil menerusi rembatan kencang Ahmad Syamim Yahya dari luar kotak penalti pada minit ke-42.

Jaringan itu berpunca daripada hantaran Sanjar Shaakmedov yang singgah dikaki Tchetche sebelum Syamim mengambil peluang itu untuk disudahkan dengan jaringan.

Ketinggalan satu gol, skuad Tok Gajah yang turun tanpa penyerang utamanya, Dickson Nwakaeme tidak berputus asa untuk mendapatkan jaringan.

Hasilnya berpunca hantaran Wan Zaharulnizam Zakaria kepada Sumareh pada minit ke-50, pemain kelahiran Gambia itu bijak memusing badan sebelum melakukan rembatan dari dalam kotak penalti untuk menyamakan kedudukan 1-1 dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 11:09pm
d