arena

Pemain ikut arahan : Mohamad

Oleh Malik Muhamad

PENOLONG jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik menyifatkan taktikal yang diterapkan kepada pasukannya menjadi selepas anak buahnya berjaya mengekang pergerakan pemain Pahang daripada bergerak bebas.

Bekas arkitek skuad kebangsaan itu juga gembira apabila pemainnya bijak mengunci situasi 'set piece' pemain Tok Gajah termasuk melalui sepakan penjuru sehingga menyebabkan lawan gagal menghasilkan jaringan melalui sepakan itu.

"Secara peribadi saya cukup berpuas hati dengan persembahan mereka yang begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh.

"Keputusan seri ini melegakan kami biarpun kita menyasarkan kemenangan kerana tiga pasukan terakhir yang menjadi lawan kita iaitu Kedah pada Selasa lalu, Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) Jumaat depan berada di kelompok ketiga teratas liga.

"Namun begitu jika momentum permainan sebagaimana pada babak pertama dikekalkan pemain, saya berkeyakinan kita mampu melakar kemenangan bermakna pada malam ini (malam tadi).

"Bagaimanapun gol penyamaan pasukan lawan berpunca daripada pertahanan kita yang gagal mengawal kemas pemain lawan menyebabkan kita dihukum dan sekadar berpuas hati dengan satu mata," kata Mohamad yang mengambil alih tugas pemangku ketua jurulatih daripada Nafuzi Zain selepas jurulatih itu berkursus lesen profesional sehingga 18 Julai ini.

Tuan rumah terlebih dahulu di depan pada babak pertama menerusi rembatan kencang Ahmad Syamim Yahya dari luar kotak penalti sebelum pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh menyamakan kedudukan pada babak kedua untuk mengikat keputusan 1-1 pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 11:42am
d