arena

'Terima kasih cuba bantu anak saya'

Oleh Saiful Affendy Sapran

USAHA ONEXOX TKKR SAG Team untuk cuba membantu pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin beraksi bersama pasukan itu di saingan Moto2 musim depan mendapat reaksi positif bapanya, Abdullah Harun.

Malah Abdullah berkata, dia sebenarnya sudah lama mengenali pemilik dan prinsipal pasukan, Bobie Farid Shamsuddin terutama ketika pasukan berkenaan mula berjinak-jinak untuk beraksi di saingan Cub Prix.

"Saya faham usaha mereka itu. Sememangnya untuk beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia memerlukan dana yang besar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdullah bagaimanapun menyerahkan segala keputusan kepada Hafizh sendiri berhubung masa depannya selepas ini.

"Cuma sebelum ini saya tak ambil tahu mengenai perjanjian kontrak dan sebagainya. Jadi kali ini saya mahu lebih peka kepada perkara seperti itu," katanya.

Bobie menerusi laporan Arena Metro semalam berkata, anggaran dana sebanyak RM3.5 juta untuk tempoh semusim diperlukan dalam usaha pihaknya memenuhi impian mendapatkan Hafizh.

Bobie berkata, pihaknya memandang misi lebih jauh iaitu mengharapkan tajaan kukuh yang mampu bertahan selama tiga musim untuk Hafizh dengan salah satu musim itu mungkin menyaksikannya beraksi di kelas MotoGP.

Justeru beliau berharap mana-mana syarikat atau individu yang berminat dapat tampil membantunya merealisasikan hasrat itu.

ONEXOX TKKR menjadi penaja bersama untuk pasukan Moto2 itu yang ketika ini menggunakan khidmat Remy Gardner serta Tetsuta Nagashima.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 9:49pm
d