arena

The Fighters positif kekal dalam Liga Super

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

FELDA United FC terus positif untuk kekal dalam Liga Super dengan menaruh harapan memburu sekurang-kurangnya tiga mata dalam dua perlawanan lagi.

Jurulatih The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, terikat 1-1 dalam perlawanan menentang PKNP FC semalam dianggap adil kerana kedua-dua pasukan mahu menang untuk mendapatkan keputusan terbaik.

Jelasnya, kelebihan pasukannya adalah masih mempunyai dua perlawanan lagi namun mereka akan bertembung dengan Pahang dan Kedah yang disifatkan agak sukar serta bukan sesuatu yang mudah.

"Saya tak pasti apa kecendurangan dua pasukan ini sebab Pahang juga perlukan kemenangan untuk mengkukuhkan tempat kedua manakala Kedah pula akan bermain pada Piala FA. "Tetapi kita perlu positif dan tak boleh fikir orang lain kerana perlu mendapatkan sekurang-kurangnya tiga mata daripada dua perlawanan ini.

"Dua mata agak sukar sebab kita tidak tahu apa akan terjadi antara Petaling Jaya City FC (PJ City) dan PKNP di perlawanan terakhir," katanya pada sidang media di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim berkata, pasukannya gagal memanfaatkan peluang biarpun dilihat mendominasi permainan pada babak pertama perlawanan.

"Saya rasa kita tidak menggunakan peluang sepenuhnya yang dicipta pada separuh masa pertama.

"Kita memilih jalan sukar untuk sampai penghujung perlawanan untuk kita menunggu peluang (mendapatkan gol penyamaan)," katanya.

Menurutnya, PKNP masih berbaki satu perlawanan dengan Petaling Jaya City FC (PJ City) dan pasukannya akan berjuang berhabisan untuk memburu mata bagi terus kekal berada dalam liga.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 11:23am
d