arena

Sumareh optimis

Oleh Asrol Awang

PEMAIN naturalisasi, Mohamadou Sumareh percaya, Pahang akan menamatkan saingan Liga Super musim ini sebagai naib juara.

Dengan berbaki dua perlawanan serta memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Dollah Salleh itu dijangka tidak berdepan masalah untuk mengutip enam mata.

Justeru, Sumareh menuntut rakan sepasukan supaya tidak membenarkan FELDA United FC dan Melaka United membawa pulang mata dari Stadium Darul Makmur dalam aksi 17 dan 20 Julai ini.

“Kami akan pastikan kemenangan buat skuad Tok Gajah sebelum mengalih tumpuan untuk kempen Piala Malaysia,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Mengulas tugasannya selaku penyerang skuad Tok Gajah ketika seri 1-1 ketika berdepan Terengganu FC (TC) kelmarin, Sumareh nyata gembira kerana jaringannya pada babak kedua membolehkan pasukan mengutip satu mata.

Pemain kelahiran Gambia itu berkata, jaringan itu berjaya mengelak Pahang daripada berputih mata selepas ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama.

“Kami bertandang ke tempat lawan dan mahu menang tetapi TFC memberi tentangan sengit dan kami terpaksa akur dengan satu mata,” katanya.

Pada perlawanan itu, Pahang menyandarkan harapan kepada Sumareh untuk mengetuai jentera serangan selepas penyerang import, Dickson Nwakaeme masih cedera.

Ternyata, percaturan itu menjadi apabila Sumareh menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-50 selepas ketinggalan 0-1 hasil jaringan Ahmad Syamim Yahya minit ke-42.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 6:01am
d