arena

Melaka agih bonus RM20,000

Oleh Nazri Abu Bakar

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) mengumumkan bonus RM20,000 kepada skuad wanita selepas muncul juara Piala Tun Sharifah Rodziah 2019.

Kejayaan mengatasi Kedah pada final 3-1 di Stadium Shah Alam, semalam diraih menerusi penentuan sepakan penalti selepas dua pasukan terbabit terikat tanpa jaringan di penghujung babak.

Ia juga membolehkan skuad Hang Tuah membawa pulang RM50,000 dan RM5,000 selaku pasukan fair play.

Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim, berkata selain bonus semua hadiah kemenangan dan anugerah fair play diagihkan kepada pasukan atas kejayaan terbabit.

Menurutnya, ia amat wajar berikutan komitmen pemain dan pengurusan yang bersungguh-sungguh untuk mencipta sejarah baharu piala berkenaan yang menjadi milik Melaka buat julung kalinya.

Katanya, pasukan wanita terbabit membina skuad dengan keadaan bajet yang paling rendah jika dibandingkan pasukan lain yang berbelanja lebih besar dalam kejohanan kali ini.

"Pengorbanan demi pengorbanan, pahit getir dilalui setiap pemain tidak dapat digambarkan kerana bukan mudah mencapai sasaran ditetapkan selepas tewas pada lawan sama di pentas final musim lalu.

"Ada pemain sanggup datang dari jauh, ambil cuti tahunan hingga maksimum, berulang alik setiap hari dalam jarak yang agak jauh dan ada yang terpaksa membahagikan masa yang terhad antara pengajian dan bola sepak," katanya.

Kesungguhan untuk muncul juara sememangnya tidak dapat dinafikan dicapai dengan disiplin yang baik.

Farhan mengucapkan tahniah kepada pengurusan dan jurulatih membimbing mempersiapkan pasukan dari awal hingga akhir kejohanan.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 4:00pm
d