arena

Dhabitah-Wendy sekadar kelapan

Oleh Aida Adilah Mat

GANDINGAN penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri-Wendy Ng Yan Yee gagal mengikuti jejak langkah Pandelela Rinong-Leong Mun Yee menempah tiket ke Olimpik Tokyo selepas sekadar menamatkan aksi final 3 meter papan anjal terjun seirama di kedudukan kelapan di Korea Selatan, semalam.

Pada Kejohanan Akuatik Dunia FINA ke-18 yang berlangsung di Gwangju hanya tiga pasangan yang menduduki tempat teratas di Kejohanan Dunia akan layak ke temasya terbesar dunia itu secara merit.

Bagaimanapun kedua-dua penerjun negara itu masih berpeluang untuk melayakkan diri ke Olimpik apabila turun beraksi dalam acara 3m papan anjal individu yang dijadualkan berlangsung Khamis ini.

Dhabitah-Wendy yang sebelum ini merangkul pingat perak di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun lalu meraih 277.35 mata, tewas kepada pasangan China, Shi Tingmao-Wang Han.

Pasangan dari tembok besar China itu mengumpul 342 mata untuk meraih emas, perak milik atlet Kanada Jennifer Abel-Melissa Citrini Beaulieu (311.10 mata) dan Pola Espinosa Sanchez- Melany Hernandez Torres dari Mexico gangsa (294.90 mata).

Esok cabaran negara akan diteruskan oleh Pandelela yang akan turun memburu tempat dalam acara 10m platfrom individu.

Selain Pandelela, Mun Yee akan turun beraksi dalam acara berpasukan 3m papan anjal dan 10m platform bersama-sama Chew Yiwei. Bagaimanapun acara berkenaan tidak menawarkan tiket ke Olimpik.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 7:44pm
d