arena

Melaka intai tempat ketiga

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA United (MU) memiliki peluang terbaik untuk kembali berada di tangga ketiga Liga Super namun terlebih dahulu perlu menewaskan PKNS pada aksi ke-21 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka, malam esok.

Selepas mengisi kedudukan terbabit sebaik menewaskan PKNP 2-1 di gelanggang sama minggu lalu, hajat untuk terus kekal tertangguh selepas perlawanan berdepan The Red Ants di jadualkan Jumaat lalu ditunda akibat serangan wabak influenza ke atas barisan pemain pelawat.

Situasi berkenaan membolehkan Kedah dan Selangor yang menang ke atas lawan masing-masing pada aksi ke-21 mereka, menolak MU ke tangga kelima akibat penangguhan perlawanan.

Penolong pengurus pasukan MU, Yuhaizad Abdullah berkata, Kedah dan Selangor yang masing-masing mengumpul 34 mata menduduki tangga ketiga dan keempat manakala MU tangga kelima (32 mata) sekali gus mereka mampu memintas Helang Merah dan The Red Giants dengan syarat meraih mata maksimum.

Katanya, kelebihan aksi di gelanggang sendiri adalah kesempatan terbaik untuk meraih kemenangan walaupun berdepan cabaran sengit pelawat yang turut mengintai kemenangan.

Menurutnya, momentum kutipan tiga mata ke atas PKNP sebelum ini mampu menjadi azimat berharga buat anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan menterjemah permainan cemerlang bagi mengecewakan lawan.

“Apa yang pasti MU perlu mengatasi pelawat kerana ianya bakal memberi impak terhadap perlawanan terakhir berdepan Pahang Sabtu ini di Stadium Darul Makmur.

“Apapun aksi berdepan PKNS yang ditangguh memberi sedikit ruang kepada pemain yang mengalami kecederaan termasuk Safiq Rahim, Shukor Adan, Raimi Md Nor, Saiful Riduwan Selamat dan Luka Milunovic kembali cergas pada kali ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 7:54pm
d