arena

Eksperimen 2020 [METROTV]

Oleh Rizar Mohd Noor

ISKANDAR PUTERI: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan bersikap lebih tegas bermula musim depan bagi memastikan setiap pasukan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) mengikut peraturan sebagai langkah merealisasikan Pelan Strategik 50 tahun (Next50) dari 2021 hingga 2070.

Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, sudah tiba masanya semua pasukan mengubah sikap untuk memastikan bola sepak di Malaysia lebih maju.

Berikutan itu, katanya, setiap pasukan yang bertanding harus bersikap terbuka supaya usaha MFL mencapai matlamat.

Katanya, musim depan adalah ‘eksperimen’ awal sebelum pelan berkenaan diaktifkan pada musim 2021 bagi memastikan kelancaran apa jua perancangan terlaksana lebih terperinci tanpa sebarang alasan remeh yang sering diperkatakan setiap pasukan.

“Semua pasukan harus beri kerjasama terhadap pelan blue print kerana tiada guna jika MFL ada visi dan perancangan tetapi tidak dapat melaksanakan. Justeru jika mahu bola sepak maju maka semua kena memainkan peranan.

“Dalam pelan berkenaan ada empat misi antaranya pertandingan, sumber manusia, penyokong dan nilai komersial. Semua ini kehendak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan kita kenalah ikut. Oleh itu, setiap pasukan kena menswastakan pasukan masing-masing dan terpulang kepada mereka untuk bersikap lebih profesional bagi memastikan tiada lagi menggunakan wang kerajaan negeri untuk membiayai pasukan dalam saingan liga.,” kata Tunku Ismail.

Mengenai sumber manusia, Tunku Ismail menegaskan akan ada lebih peluang pekerjaan membabitkan pengurusan, kejurulatihan dan turut membabitkan program akar umbi.

Beliau juga mahu setiap pasukan lebih rapat dengan penyokong dan sentiasa memberi informasi terkini terhadap pasukan masing-masing.

Mengenai nilai komersial, Tunku Ismail berkata, perlu ada penaja dari luar negara dan mengelak daripada pembabitan syarikat tempatan yang mungkin akan ada campur tangan dan menyebabkan usaha meningkatkan lagi bola sepak di negara ini terbantut.

Berhubung pengawalan perbelanjaan kelab, Tunku Ismail berkata, MFL akan bertindak sebagai penyelia dalam menyediakan garis panduan perbelanjaan bagi memastikan tiada kelab yang dihimpit masalah kewangan dan ia adalah cetusan idea daripada La Liga, Sepanyol.

“Di La Liga kita tengok macam mana mereka uruskan kelab dan terbukti tidak banyak hutang. Mereka akan beri garis panduan kepada tertentu bagaimana untuk berbelanja berdasarkan kewangan mereka.

“MFL akan memberikan nasihat dengan undang-undang sedia ada bagi memastikan tiada pasukan dalam saingan Liga M menghadapi masalah kewangan terutama hutang atau pemain tidak dapat gaji,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 8:00am
d