arena

Tempahan bas penyokong Lang Merah laris

Oleh Izzali Ismail

DUA jaringan cantik penyerang Kedah, Fernando Rodriguez atau dikenali Nando ketika menentang Perak Sabtu lalu memberi kesan terhadap tempahan bas ke final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai ini.

Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Red Eagle Frenz Kedah (REFK) Azmi Abdullah, pihaknya terkejut apabila tempahan bas yang mereka kendalikan meningkat drastik selepas Kedah menewaskan Perak di Stadium Darul Aman.

"Jaringan menarik ketika Kedah menang 4-2 ke atas Perak memberi kesan terhadap tempahan bas yang kami promosikan.

"Dua gol berbisa Nando menambat hati penyokong dan seterusnya menyemarakkan lagi semangat mereka untuk ke final. Jika sebelum ini tempahan seperti biasa, namun jumlah itu meningkat pantas sebaik tamat perlawanan Kedah menentang Perak yang dianggap prafinal itu."

REFK antara kelab penyokong berpengalaman yang aktif menawarkan tempahan bas untuk penyokong Kedah menyaksikan final Piala FA.

"Sebagai tanggungjawab, kami selaku kelab penyokong setia Kedah mahu seramai mungkin penyokong ke Bukit Jalil dan setakat ini kami berusaha keras mempromosikan baki tempahan yang ada.

"Melalui maklumat saya dapati jumlah permintaan terhadap tempahan tempat duduk bas sudah hampir penuh. Jadi, jaringan Rodriguez, Renan Alves dan N Thanabalan serta ketangkasan penjaga gol, Hadi Hamid pada perlawanan lalu memberi kesan positif terhadap tempahan tiket termasuk pembelian secara dalam talian yang sudah mula dijual," katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 12:09pm
d