arena

Kejayaan Pandelela, Mun Yee inspirasi atlet negara

Oleh Petah Wazzan Iskandar

KEJAYAAN pasangan terjun negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee meraih tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 harus dijadikan inspirasi dalam kalangan atlet.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beliau berterima kasih kerana kejayaan mereka sangat besar kerana mengharumkan nama negara.

"Mereka menunjukkan prestasi yang sangat baik dan diharapkan prestasi terus bertambah baik supaya mampu menunjukkan keupayaan yang yang lebih baik apabila beraksi di sukan Olimpik akan datang.

"Saya berharap kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada atlet yang masih bertarung untuk ke Olimpik.

"Tahniah kepada mereka (Pandelela dan Mun Yee), kejayaan mereka mengharumkan nama negara," katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Pandelela Rinong dan Mun Yee berjaya meraih tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, semalam.

Ia susulan kejayaan pasangan negara itu meraih pingat perak acara 10 meter platform seirama pada Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan.

Ini adalah kali ketiga gandingan Pendelela-Mun Yee berjaya menjelmakan kilauan pingat buat skuad terjun negara pada kejohanan dunia selepas meraih gangsa pada edisi 2009 di Rome dan 2013 di Barcelona.

Ketika ditanya mengenai kuota atlet ke Olimpik, Syed Saddiq berkata, pihaknya akan berbincang secara bersama dengan semua pihak bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Fokus utama kita adalah mereka yang paling berkelayakan dan berkebolehan mewakili Malaysia.

"Itu adalah amalan biasa yang digunakan selama ini dan kita akan putuskan dalam perbincangan tidak lama lagi, " katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 4:22pm
d