arena

MTBC yakin kemampuan Nerosha

Oleh Nor Hairulnizam Wahid

KETIADAAN Shalin Zulkifli dalam senarai pemain negara yang bakal beraksi di Kejohanan Wanita Dunia di Las Vegas, 22 hingga 30 Ogos ini tidak akan menjejaskan perancangan skuad wanita untuk mempertahankan gelaran dimenangi dua tahun lalu.

Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) mencetus kejutan baru-baru ini apabila tidak menyenaraikan Shalin bersama-sama Esther Cheah, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan untuk kejohanan itu.

Sebaliknya mereka mempertaruhkan bakat muda dari Sarawak, Nerosha Keligit, 22 untuk menggantikan tempat Shalin.

“Kami menaruh keyakinan terhadap pasukan ini dan MTBC percaya mereka mampu memberikan yang terbaik,” kata Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok.

“Saya tidak melihat ia memberi impak yang amat besar terhadap pasukan memandangkan mereka sudah dilatih untuk sedia menggantikan mana-mana pemain sekiranya diperlukan.”

Ketiadaan Shalin dalam senarai itu mencetus tanda tanya memandangkan ikon tenpin boling negara itu memainkan peranan penting dalam kejayaan skuad wanita menjuarainya pada kejohanan edisi 2003, 2007 dan 2017.

Pada masa sama beliau juga menaruh keyakinan terhadap Nerosha, biarpun ini adalah penampilan pertamanya di Kejohanan Dunia.

Sepanjang tahun ini, Nerosha mempamerkan aksi meyakinkan dengan meraih naib juara Terbuka Thailand (tewas kepada Siti Safiyah), selain menduduki tangga ke-11 dalam Cabaran Madrid baru-baru ini yang menyaksikannya mengatasi sejumlah pemain lebih senior daripadanya.

“Ini adalah kejohanan berpasukan pertamanya bersama pasukan utama dan dia pernah menyertai acara berpasukan dalam kejohanan utama remaja sebelum ini seperti Belia Asia dan Dunia,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 8:45pm
d