arena

Kempen Liga Perdana terakhir Zabaleta

Oleh AFP

PABLO Zabaleta menyatakan ini musim terakhirnya dalam Liga Perdana Inggeris malah mungkin menjadi kempen terakhirnya sebelum bersara.

Pertahanan veteran Argentina itu menandatangani kontrak baharu setahun bersama West Ham dan mendedahkan hari ini ia adalah musim perpisahannya dalam kancah bola sepak Inggeris.

Ditanya sama ada dia akan bersara selepas musim 2019-20, Zabaleta yang bercakap di bandar raya China, Nanjing berkata: “Saya tidak tahu, sejujurnya.

“Alasan saya berada di sini kerana saya masih seronok bermain bola sepak.

“Saya fikir saya masih boleh memberikan komitmen 100 peratus kepada pasukan dan menggunakan sebaik mungkin pengalaman saya.

“Saya sedar saya sudah berusia 34 tahun dan saya semakin tua serta menghampiri penamat karier, saya jujur dengan diri sendiri,” kata Zabaleta, yang menyertai West Ham kendalian Manuel Pellegrini dari Manchester City dua tahun lalu.

“Sudah pasti ini musim terakhir saya di England, ini sesuatu yang saya sudah tahu,” ujar pertahanan kanan itu, yang menjuarai Liga Perdana dua kali bersama City.

West Ham akan berdepan bekas pasukan Zabaleta di Nanjing esok pada aksi Trofi Liga Perdana Asia. Satu lagi perlawanan antara Newcastle dan Wolves.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 10:33pm
d