arena

Akhirnya dapat

Oleh Firdaus Hashim & Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Adakah geran tahunan atau wang hak penyiaran yang dijanjikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kelmarin, sudah diterima pasukan Liga Super dan Liga Perdana?

Itu persoalan yang menjadi tanda tanya berikutan reaksi berbeza diberikan persatuan bola sepak negeri, MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Ini kerana pada 4 Julai lalu, MFL berjanji akan menyerahkan wang hak penyiaran pasukan sebelum 15 Julai dengan mengekalkan jumlah RM3 juta untuk pasukan Liga Super dan RM1 juta kepada pasukan Liga Perdana.

Malah, pembayaran hak penyiaran akan dibuat sebanyak dua kali, dengan pembayaran pertama bermula bulan ini dan disusuli pembayaran akhir 15 Ogos depan.

Bagaimanapun, beberapa pasukan Liga Super dan Perdana yang dihubungi Arena Metro setakat jam 3 petang semalam memaklumkan belum menerima pembayaran hak penyiaran berkenaan.

Menurut jurucakap sebuah pasukan yang beraksi di Liga Super, pihaknya menanti wang yang dijanjikan sehingga petang kelmarin, namun ia masih belum dimasukkan ke akaun pasukan seperti mana yang dijanjikan.

“Mungkin wang itu sedikit lewat, tak hari Isnin mungkin dalam minggu ini. Cuma agak mengecewakan kenapa mereka (MFL) tidak mengeluarkan notis kelewatan kerana mereka yang berjanji untuk serahkan separuh pada 15 Julai.

“Kita tak kisah pun kalau lambat, tapi janganlah berjanji bulan dan bintang, tup..tup.. tak ada pun,” katanya yang enggan dikenali kerana bimbang akan mengeruhkan hubungan pasukannya dengan badan penganjur liga itu.

Sementara itu, MFL dalam satu kenyataan malam tadi, mengesahkan semua pasukan sudah menerima pembayaran hak penyiaran pada fasa pertama, semalam.

Beberapa prosedur diambil sebelum transaksi pembayaran itu dibuat sekali gus menyebabkan semua pasukan hanya menerima pembayaran semalam seperti yang diumumkan MFL sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, MFL sentiasa komited dan berusaha keras untuk mengagihkan hak penyiaran kepada pasukan seperti yang dijanjikan pengendali Liga Malaysia itu.

Kevin berharap agihan itu bukan saja dapat menyelesaikan kemelut hak penyiaran, malah membantu kelab dalam pengurusan kewangan mereka dan memastikan pasukan terus bergerak ke depan.

“MFL dapat mengesahkan semua pasukan menerima bayaran hak penyiaran pada hari ini (semalam). Saya berharap tiada lagi mana-mana pihak cuba mensensasikan isu hak penyiaran lagi kerana ia sudah selesai.

“Apa yang MFL lebih berminat adalah mahu melihat pasukan Liga Malaysia bergerak lebih ke depan sebaik isu ini dapat diselesaikan dan terus fokus dalam perancangan masing-masing dalam usaha memantapkan lagi Liga Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 8:05am
d