arena

Kedah optimis tangga ketiga

Oleh Izzali Ismail

MISI memburu kemenangan untuk kekal di tangga ketiga Liga Super musim ini menjadi impian ketua pasukan Kedah Baddrol Bakhtiar apabila skuadnya berkunjung ke Stadium Tun Abdul Razak Jengka dalam pertemuan terakhir Liga Super menentang FELDA United, 21 Julai ini.

Menurut pemain berpengalaman ini, peluang skuad Lang Merah menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga musim ini akan menjadi kenyataan jika dapat menumbangkan FELDA United yang kini dilihat bangkit merebut peluang bagi mengelak penyingkiran ke Liga Perdana.

Selain itu, kedudukan Kedah pada tangga ketiga kini juga menjadi perebutan dan dicabar hebat Selangor dan Melaka yang masing-masing berada pada kedudukan keempat dan kelima.

“Kami perlu beri aksi yang terbaik dalam perlawanan menentang FELDA United kali ini kerana sebab kami perlukan tiga mata yang penting untuk kami kekalkan kedudukan kami pada tangga ketiga carta Liga Super.

“Peluang Kedah untuk kekal ditangga ketiga pada Liga Super musim ini hanya selangkah lagi tidak harus dilepaskan dan saya menyeru semua rakan sepasukan agar memberi tumpuan serta fokus terbaik pada perlawanan yang terakhir liga super ini.

“Dalam perlawanan yang terakhir di Jengka ini juga kami mahu kekalkan aksi yang konsisten dan meneruskan rentak kemenangan seperti yang diperolehi ketika menentang Perak minggu lalu.”

Baddrol yang ditemui pada majlis perjumpaan pasukan bersama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Wisma Darul Aman semalam turut menyentuh mengenai kelancaran persiapan pasukan yang akan melangkah ke pentas final menentang Perak pada 27 Julai ini.

“Persediaan pemain untuk ke final ini Alhamdulillah dalam keadaan yang baik, kebanyakan pemain bebas kecederaan yang serius cuma seorang dua sahaja mengalami kecederaan kecil.”

“Saya dan pasukan mengharapkan keharmonian serta momentum dalam pasukan pada tahun ini berada pada tahap yang terbaik dalam memburu kejayaan di pentas final nanti.”

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 12:52pm
d