arena

Ibarat aksi final

Oleh Rizar Mohd Noor

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menyifatkan aksi terakhir liga menentang Terengganu FC (TFC) pada pertembungan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok ibarat aksi akhir liga berkenaan.

Ini kerana skuad yang bergelar Harimau Selatan mahu mengelak detik hitam selepas tewas 0-1 kepada Petaling Jaya City FC (PJ City FC) di di stadium sama, Selasa lalu, berulang sebelum pasukan itu secara rasmi akan menjulang kejuaraan Liga Super kali keenam berturut-turut.

Apapun pengurus JDT, Luciano Figueroa mahu kesebelasan utama yang bakal diturunkan memberi sepenuh tumpuan dalam perlawanan itu dan tidak memikirkan sambutan kejuaraan selepas perlawanan.

Katanya, kekalahan kepada skuad kendalian K Devan amat perit dan apa yang terjadi tempoh hari harus dilupakan dan pemain perlu bangkit dengan persembahan lebih mantap, tidak boleh lagi turun dengan corak permainan tidak konsisten.

“Lupakan kekalahan lalu dan kembali fokus untuk pertembungan menentang TFC. Mereka adalah pasukan serba boleh dibarisi pemain import yang baik dan juga kombinasi pemain tempatan yang mantap.

“Kita tidak boleh tewas dalam aksi terakhir liga. Pemain tahu tugas yang dipikul dan kami juga sudah memperbaiki apa jua kelemahan ketika tewas kepada PJ City FC, pemain kini tampak begitu bersemangat untuk berdepan TFC.

“Saya percaya mereka akan turun dengan lebih garang di depan penyokong sendiri yang ingin melihat kami menang dan kami berharap penyokong bertindak sebagai pemain ke-12 akan menyuntik semangat setiap pemain JDT,” katanya.

Pada aksi Rabu lalu, skuad Harimau Selatan tersentap dengan kekalahan 0-1 kepada PJ City FC sekali gus meranap impian juara hatrik berganda liga untuk mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri, musim ini bagi menyamai pencapaian tiga musim lalu.

Dalam pemburuan kasut emas selaku penjaring terbanyak liga, Diogo Luis Santo ketinggalan dua jaringan untuk menyamai pencapaian pemain import PKNS FC, Kpah Sherman yang kini mengungguli selaku penjaring terbaik selepas menjaringkan 14 gol.

Santo, pemain import termahal JDT memerlukan sekurang-kuranganya tiga gol untuk mengesahkan kedudukanya selaku penjaring terbanyak.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 2:32pm
d