arena

Kamarul pengurus baharu skuad B-19

Oleh Firdaus Hashim

KEJAYAAN mengubah nasib pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada pasukan belasahan kepada calon hangat untuk mengintai slot ke Liga Super musim depan, menyaksikan pengurusnya Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar dilantik sebagai pengurus baharu skuad B-19 kebangsaan.

Beliau yang turut dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Kongres ke-55 badan induk itu Sabtu lalu, akan menggantikan Datuk Ab Ghani Hassan yang melepaskan tugas itu.

Pelantikan itu diumumkan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada sesi ramah mesra dan makan tengah hari bersama media di Kuala Lumpur, hari ini.

Kamarul mengakui ia cabaran besar walaupun skuad B-19 adalah skuad ketiga Harimau Malaya selepas pasukan senior dan B-23.

“Terima kasih kepada Presiden FAM kerana memberikan kepercayaan. Saya akan memberikan segala kudrat dan pengalaman untuk memastikan skuad B-19 negara mencapai prestasi lebih baik.

“Bagi perancangan saya untuk pasukan, saya tidak boleh mengulas lagi kerana perlu berjumpa dan berbincang dengan barisan kejurulatihan terlebih dahulu,” kata Kamarul.

Dengan pelantikan itu, beliau akan bergandingan dengan jurulatih dari Australia, Brad Maloney dengan dua tugasan penting menanti pasukan itu.

Skuad muda negara akan beraksi di Vietnam bagi Kejuaraan B-18 AFF bulan depan serta kelayakan Kejuaraan B-19 AFC pada November depan.

Malaysia adalah juara bertahan Kejuaraan B-18 AFF di Indonesia tahun lalu serta turut layak ke pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC juga di negara republik itu.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 9:13pm
d