arena

De Ligt pertahanan termahal dunia

Oleh AFP

PERTAHANAN tengah Belanda, Matthijs de Ligt, seorang daripada pemain muda paling berbakat di dunia, menyertai Juventus dari Ajax Amsterdam hari ini dengan harga 75 juta euro (RM346 juta) tidak termasuk tambahan lain.

Pemain berusia 19 tahun itu bersetuju dengan kontrak lima tahun bersama juara Itali itu.

Juventus memaklumkan dalam satu kenyataan, yuran perpindahan itu akan dibayar dalam lima tahun kewangan, dengan “kos tambahan” membabitkan 10.5 juta euro (RM48.4 juta).

Jumlah keseluruhan yuran itu menjadikan De Ligt pemain pertahanan termahal di dunia, mengatasi jumlah 84 juta euro (RM387.5 juta) dibayar Liverpool untuk mengikat rakan sepasukannya dalam skuad Belanda, Virgil Van Dijk dari Southampton pada 2018.

De Ligt pemain ketiga termahal Juventus selepas 105 juta euro (RM484 juta) dibayar mereka untuk membeli Cristiano Ronaldo dari Real Madrid pada 2018 dan 90 juta euro (RM415 juta) perpindahan Gonzalo Higuain dari Napoli pada 2016.

De Ligt turut dikaitkan dengan Manchester United, Barcelona dan Paris Saint-Germain selepas persembahan cemerlangnya bersama pasukan muda Ajax yang layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu.

Dalam perjanjian yang dirangka ejen ternama Mino Raiola, De Ligt akan menerima gaji tahunan asas 7.5 juta euro (RM34.6 juta) yang boleh mencecah 12 juta euro (RM55 juta) selepas tambahan bonus, menurut laporan di Itali.

Disiarkan pada: July 18, 2019 @ 10:20pm
d