arena

Jom tengok Muaythai percuma

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

PEMINAT sukan lasak Muaythai berpeluang menyaksikan perlawanan 12 atlet sukan itu pada Kejohanan Terengganu Fight 2019 yang diadakan secara percuma pada 2 Ogos ini.

Kejohanan yang menampilkan jaguh Muaythai dari luar negara termasuk Brazil, Algeria dan Thailand akan diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus.

Pengerusi Persatuan Muaythai Terengganu (PMTT) Najmi Abdullah berkata, kejohanan itu kali pertama dianjurkan secara percuma tanpa mengenakan tiket kepada penonton dalam usaha menarik minat lebih ramai anak muda menceburi sukan Muaythai seterusnya melahirkan pelapis yang boleh diangkat ke peringkat dunia.

Katanya, pihaknya berharap peminat sukan Muaythai di negeri ini tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan 12 atlet yang sebahagiannya adalah atlet Muaythai profesional dan mempunyai nama besar dalam sukan itu.

“Perlawanan yang akan menjadi tumpuan adalah pertembungan Ropi Kuda Merah dengan Latxasak Souliyavong dari Thailand dalam ketegori 65kg.

“Pertembungan atlet Muaythai Brazil iaitu Felipe Lobo dengan Rungravee dari Algeria dalam kategori 65kg juga antara yang dinantikan peminat sukan itu,” katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam.

Najmi berkata, penganjuran kejohanan itu juga akan menampilkan bakat baru dalam sukan Muaythai sekali gus memberi pendedahan kepada mereka.

“PMTT ingin melahirkan lebih ramai atlet Muaythai di negeri ini dan kami boleh mengenal pasti atlet baru yang berbakat untuk diketengahkan bagi mewakili negeri ke kejohanan seterusnya.”

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 12:32am
d