arena

Azurin azam lakar lebih banyak kejayaan

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA: Penjaga gol skuad wanita kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan berazam mencipta kejayaan lebih baik berbanding musim lalu apabila tampil di Kejohanan Bolasepak Wanita AFF yang bakal berlangsung di Thailand, bulan depan.

Azurin muncul wira Melaka United yang menjulang Piala Tun Sharifah Rodziah selepas menyelamatkan dua sepakan penalti Kedah di pentas final, Ahad lalu.

Baginya, semua pasukan yang akan bersaing di Piala AFF kali ini boleh dikatakan mantap tetapi pemain kebangsaan sudah berazam untuk mengejutkan mana-mana lawan.

“Selepas gagal melepasi pusingan pertama musim lalu, kali ini secara peribadi saya berazam membantu negara ke separuh akhir namun kami terlebih dulu perlu fokus pada saingan peringkat kumpulan sebelum memikirkan yang lebih jauh.

“Fokus kami ialah wajib melepasi setiap perlawanan kumpulan selepas kecewa di Palembang tahun lalu,” katanya.

Walaupun skuad negara dijangka berpeluang cerah untuk ke separuh akhir berikutan ketiadaan Australia di kejohanan yang bermula pada 15 Ogos di Chonburi itu, Azurin enggan ambil mudah sebaliknya mengharapkan semua pemain bermati-matian untuk melepasi peringkat kumpulan.

Selepas sesi undian Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara tiga kali, Thailand selain Singapura, Filipina dan Timor Leste.

Manakala Vietnam yang juga juara dua kali, berada dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Myanmar dan Kemboja.

Azurin berkata, tiada jalan mudah untuk berjaya sebaliknya semua pemain perlu memberikan tumpuan penuh selain mengekalkan corak dan taktikal diterapkan jurulatih.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 8:05am
d