arena

Holding calon kapten Gunners

Oleh Reuters

PENGURUS Arsenal, Unai Emery berkata, dia bersedia melepaskan kapten Laurent Koscielny dan menimbangkan jawatan itu diberikan kepada pemain muda, Rob Holding.

Koscielny enggan menyertai jelajah pramusim di Amerika Syarikat ketika laporan media Britain mengaitkan perpindahan pertahanan tengah Perancis itu dengan kelab Ligue 1, Girondins Bordeaux dan Olympique Lyonnais.

Emery melabelkan Koscielny penting kepada pasukan pada awal minggu ini tetapi kini sedia melepaskan pemain itu.

Bagaimanapun, Holding, 23, yang beraksi di bahagian pertahanan bakal dipertimbangkan menjadi salah seorang daripada lima calon kapten ketika diperlukan.

"Saya mahu seorang pemain Inggeris dalam kalangan mereka,” kata Emery ketika sidang media di Los Angeles menjelang Piala Juara Antarabangsa menentang Fiorentina, Ahad ini.

"Tahun lalu (Granit) Xhaka, Mesut (Ozil) dan Nacho (Monreal) menjadi kapten tetapi selepas Aaron Ramsey dan Petr Cech meninggalkan pasukan ini, kemungkinan juga Laurent Koscielny - saya mahu yang lain.

"Pemain Inggeris yang meningkat naik dalam akademi kami yang faham semangat Inggeris dan nilai Arsenal. Ini kualiti dan lebih yang kami mahu.

"Kami sangat gembira dengan kemajuan Holding. Kami perlukan prestasinya di bahagian pertahanan tengah.”

Pemain senior Inggeris yang tinggal dalam skuad ialah Calum Chambers yang dipinjamkan ke Fulham dan pertahanan kanan, Carl Jenkinson.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 11:03am
d