arena

Hadiah terakhir buat penyokong setia

Oleh Malik Muhamad

ARKITEK Terengganu FC II (TFC II), Mohammad Haidhir Suhaini mahu menyekat juara Liga Perdana musim ini, Sabah daripada terus berpesta apabila dua pasukan itu membuat perhitungan terakhir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Sebaliknya, pemain berusia 23 tahun kelahiran Kemaman itu menyasarkan kemenangan sebelum liga melabuhkan tirainya sebagai hadiah buat peminat setia yang sentiasa hadir ke stadium untuk memberi sokongan.

"Kami harus mencatat kemenangan pada aksi terakhir ini sebagai hadiah kepada peminat setia lebih-lebih lagi apabila bermain di tempat sendiri.

“Selain itu kami mahu mengintai kedudukan lebih baik dalam liga biarpun sedar bukan senang menewaskan pendatang baharu Liga Super musim depan itu," kata Haidhir yang lebih mesra dipanggil Edil itu.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Likas pada Februari lalu, skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hassan itu tewas 1-3 biarpun pada awalnya berjaya mendahului tuan rumah.

Skuad The Turtles itu yang kini menghuni di tangga ketujuh liga dengan mengutip 27 mata masih berpeluang menamatkan saingan liga di kedudukan keempat sekiranya berjaya mengutip tiga mata selain mengharapkan UiTM, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sekurang-kurangnya seri.

Sementara itu, Tengku Hazman berkata, biarpun skuadnya beraksi tanpa pertahanan import, Serhii Andrieiev dan pemain tengah, Abdul Shukur Jusoh yang beraksi bersama Terengganu FC (TFC), ia tidak bermakna skuadnya memberi laluan 'khas' kepada skuad Tambadau itu.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 11:37am
d