arena

Dyball harum nama TSC di China

Oleh Azlan Muhammad Zain

PASUKAN benua Team Sapura Cycling (TSC) mengharumkan nama negara di Tour of Qinghai Lake di China apabila pelumbanya, Benjamin Dyball memenangi peringkat ketujuh, hari ini.

Pemenang jersi kuning Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 itu melakukan catatan terpantas bagi mengharungi peringkat ketujuh yang mempertandingkan ujian masa individu.

Dia mencatat 48 minit 46 saat bagi menamatkan perlumbaan sejauh 42 kilometer yang bermula dan berakhir di Haiyan.

β€œIa sesuatu yang sukar kerana perlumbaan berlangsung pada tahap ketinggian 3,000 hingga 3,500 meter, jadi saya cuba bermula tanpa memberi tekanan kepada diri sendiri,” jelas pelumba dari Australia itu.

Ia podium ketiga TSC pada perlumbaan berstatus hors itu selepas menduduki tempat ketiga pada peringkat pertama dan keempat.

Kemenangan peringkat ketujuh membolehkan Dyball melonjak 13 anak tangga dan kini berada di kedudukan keempat dalam perebutan jersi kuning.

Dia ketinggalan dua minit 17 saat di belakang penyarung jersi kuning dari pasukan Medellin, Robinson Chalapud yang mengumpul 17 jam 53 minit 37 saat.

Edisi ke-18 perlumbaan itu kini sudah memasuki separuh daripada 13 peringkat perlumbaan.

Disiarkan pada: July 20, 2019 @ 8:12pm
d