arena

Pembedahan otak selamatkan peninju

Oleh AFP

PENINJU Russia Maxim Dadashev berada di hospital di pinggir Washington selepas menjalani pembedahan otak kecemasan susulan kekalahan di gelanggang, lapor media Amerika Syarikat.

Pertarungan di antara Dadshev dan peninju Puerto Rico Subriel Matias dihentikan jurulatihnya James “Buddy” McGirt pada akhir pusingan ke-11 malam semalam.

Dadashev tidak mampu berjalan ke bilik persalinan selepas pertarungan itu dan segera dibawa ke hospital.

Doktor melakukan pembedahan untuk menghilangkan tekanan akibat bengkak pada otaknya, lapor ESPN dan beberapa media lain.

“Ketika ini dia berada dalam keadaan kritikal, tetapi doktor memberitahu saya dia stabil,” kata jurulatih kekuatan dan penyesuaian Dadashev, Donatas Janusevicius, memberitahu ESPN.

“Kami tahu pendarahan sudah berhenti, begitu juga dengan bengkak. Jadi ada beberapa berita positif dan kami berharap dan berdoa untuk yang terbaik.

Dadashev, 28, memiliki rekod tanpa kalah 13-0 sebelum perlawanan membabitkan kelas 140 pound yang tidak menyasarkan sebarang kejuaraan.

McGirt berkata dia ‘tidak mampu meyakinkan’ peninjunya daripada berhenti tetapi memilih untuk melontar tuala kepadanya apabila melihat peninjunya ‘ditumbuk bertubi-tubi dengan mudah ketika perlawanan terus berlangsung’.

“Satu tumbukan boleh mengubah nasib seseorang dan saya tidak akan membiarkan ia berlaku,” kata McGirt.

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 10:36am
d