arena

United cuba 'hidup' tanpa Lukaku

Oleh Agensi

DAVID De Gea will akan menjadi penjaga gol dengan gaji termahal di dunia selepas bersetuju menandatangani kontrak baharu selama enam tahun bersama Manchester United bernilai sekitar £117 juta (RM602 juta).

Namun Romelu Lukaku terus nekad meninggalkan United dan berharap Inter Milan akan kembali dengan tawaran lebih baik selepas tawaran awal kelab Itali bernilai £54 juta (RM277.8 juta) ditolak.

De Gea yang membuat penampilan pertama aksi pra-musim ketika United menang 1-0 ke atas Inter di Singapura pada Sabtu akan menandatangani kontrak baharu yang dipercayai bernilai sekitar £375,000 (RM1.92 juta) seminggu sebaik kembali ke Manchester selepas jelajah itu.

Biarpun pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer bakal lega dengan masa depan De Gea, nasib Lukaku masih tidak menentu.

Penyerang remaja Mason Greenwood terus memanfaatkan ketiadaan Lukaku dengan satu-satunya gol ke atas Inter pada Piala Juara-Juara Antarabangsa di Stadium Nasional Singapura, tiga hari selepas jaringan sulung bersama skuad senior ketika menang 4-0 ke atas Leeds United di Perth.

Solskjaer menolak spekulasi bahawa Greenwood bakal dipinjamkan apabila pemain berusia 17 tahun itu terus mencerahkan peluangnya untuk menyertai kesebelasan utama United dalam aksi sulung Liga Perdana Inggeris musim depan menentang Chelsea pada 11 Ogos ini.

Solskjaer membayangkan buat pertama kalinya semalam bahawa United mampu bermain dengan ‘cara yang lain’ tanpa Lukaku tetapi pengurus berkenaan mengambil risiko untuk terus menyimpan penyerang Belgium itu melainkan Inter mencari jalan untuk menepati nilai £90 juta (RM463.1 juta).

Kelab Itali itu perlu melepaskan Mauro Icardi yang menarik minat Juventus, untuk mendapatkan wang.

“Jika anda seorang pemain dan tidak berlatih, dan dia terlepas tiga perlawanan, saya fikir dia diperhatikan,” kata Solskjaer.

“Dia berusaha untuk kembali ke padang dan lihat berapa lama masa diambilnya. Dia mengalami masalah buku lali.

“Saya fikir kami bermain dengan baik tanpa Romelu tetapi kita semua tahu dia antara penyerang utama di dunia. Kami bermain dengan cara lain mungkin dengan Anthony [Martial], Marcus [Rashford], Mason, jadi anda perlu sesuaikan diri dengan pemain yang ada.”

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 11:29am
d