arena

Hati Yusri untuk TRW

Oleh Attirmidzie Rahman

PENGENDALI Kelantan, Yusri Che Lah melahirkan rasa syukur dan teruja apabila pasukannya berjaya mengutip tiga mata hasil kemenangan 2-0 ke atas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Kemenangan itu lebih bermakna apabila The Red Warriors (TRW) akan terus kekal beraksi dalam Liga Perdana pada musim hadapan.

Tanpa berselindung, Yusri mengakui bersetuju untuk terus mengendalikan TRW musim hadapan kerana jiwanya hanya untuk Kelantan walaupun beliau bukan anak jati negeri ini.

“Satu perasaan yang cukup gembira. Dua kekalahan berturut-turut yang dilakar sebelum ini seolah-olah dilupakan pemain dan ia dapat mengubat hati serta mengembalikan semula sokongan peminat selepas kemarau kemenangan.

“Saya lihat semangat luar biasa ditunjukkan semua pemain, sekali gus menyelamatkan kami terjerumus ke Liga M3 dan kekal bersaing dalam kancah Liga Perdana 2020.

“Syukur dengan kemenangan ini walaupun dalam serba kekurangan keputusan tetap berpihak kepada Kelantan dan perancangan yang dilakukan juga diikuti sebaiknya pemain malam ini (malam tadi), “katanya.

Sementara itu, Ketua jurulatih UKM, Sulaiman Hussin mengakui anak buahnya sedikit hilang fokus pada babak pertama namun mampu bertahan dengan baik untuk menafikan beberapa peluang terhidang diperolehi penyerang tuan rumah Seydi L’Imam dan Nik Azli Nik Alias.

“Saya gembira melihat aksi kedua pasukan yang bersaing sengit bagaikan pentas akhir untuk merebut satu piala. Suasana dalam stadium yang meriah dengan kehadiran peminat setia tuan rumah juga menjadikan perlawanan sangat menarik.

“Saya tidak menganggap perlawanan ini hanya pelengkap jadual dan Kelantan bertuah kerana bijak memanfaatkan dua jaringan berpunca daripada kealpaan barisan pertahanan pada babak kedua permainan,” katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 1:01pm
d