arena

Careca bantu Perak tangga kelima

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PERAK mengakhiri saingan Liga Super musim ini di tangga kelima apabila menumpaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.

Kemenangan anak buah Mehmet Durakovic pada perlawanan terakhir itu menyaksikan The Bos Gaurus berkongsi 33 mata dengan Melaka United namun berjaya memintas kedudukan pasukan itu menerusi kelebihan jaringan.

Tuan rumah mengasak kubu pelawat seawal minit ketiga menerusi percubaan kencang Careca, namun kecekapan penjaga gol Sharbinee Allawee Ramli menyelamatkan Kuala Lumpur.

Pelawat cuba mengimbangi asakan bagaimanapun Careca menyempurnakan bola lorongan cantik J Partiban sebelum merembat masuk gol pendahuluan pada minit ke-31.

Kemasukan Kenny Pallraj menggantikan Leandro Dos Santos membuahkan hasil apabila dia melakukan hantaran cantik kepada Careca yang melepasi pertahanan Kuala Lumpur sebelum meledak gol kedua pada minit ke-67.

Kuala Lumpur bagaimanapun enggan mengalah dan berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Luke Woodland pada minit ke-76.

Kemenangan tuan rumah mampu menjadi bekalan semangat menjelang final Piala FA menentang Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 11:28pm
d