arena

Nidzam puji semangat The Fighters

Oleh Asrol Awang

KEAZAMAN tinggi dipersembahkan FELDA United FC membantu kelab itu menang 5-1 ke atas Kedah pada aksi terakhir Liga Super di Maran.

Kemenangan bergaya itu, malam tadi turut mengesahkan The Fighters kekal dalam saingan Liga Super musim ini apabila menamatkan saingan di tangga ke-10.

Mengulas kejayaan FELDA United kekal dalam liga utama Malaysia musim depan, pengendali pasukan, Mohd Nidzam Jamil mengakui sangat berpuas hati dan gembira dengan pencapaian itu.

"Kerja keras sepanjang sesi latihan dan semangat tidak mengenal erti putus asa memastikan kami mencatat kemenangan ini.

"Saya sendiri tidak menyangka akan memperoleh kemenangan besar dan pasukan Kedah yang beraksi dengan 10 pemain juga banyak membantu kami melakar kemenangan.

"Saya percaya motivasi untuk memastikan kelab ini kekal dalam Liga Super mengatasi segala cabaran dihadapi," katanya.

Mohd Nidzam berkata, pembabitan pertama dalam Liga Super memberi kepuasan kepadanya selepas menghadapi pelbagai cabaran sepanjang saingan liga.

Malah, dia turut bersyukur menamatkan saingan liga di tangga ke-10 dan berjaya mengelak The Fighters tersingkir ke Liga Perdana.

"Saya kini boleh tidur lena sebelum memulakan persediaan bagi menghadapi cabaran lebih besar dalam kempen Piala Malaysia," katanya.

Pada perlawanan itu, lima gol FELDA United, masing-masing dijaringkan Jocinei Schad pada m-6 diikuti Faiz Mazlan (m-32), Khairul Amri Kamal (m-85), Jazasrin Jamaludin (m-92) dan Kei Ikeda (m-93).

Gol tunggal skuad Lang Merah dijaringkan oleh Jonathan Bauman m-78.

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 12:44pm
d