arena

Aifa tekad ungguli Remaja Dunia

Oleh Aida Adilah Mat

SELEPAS lapan belas tahun, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah Kejohanan Skuasy Remaja Dunia yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil bermula 30 Julai hingga 9 Ogos.

Mempertaruhkan pemain terbaik iaitu juara tiga kali Terbuka Remaja Brisith, Aifa Azman, dua kali juara Asia, Chan Yiwen di samping Ooi Kah Yan dan Noor Ainaa Amani Ampandi, skuad negara sudah bersedia mengibarkan cabaran.

Aifa diletakkan pemain pilihan ketiga-keempat akan bersama Yiwen dan Kah Yan mahu menggunakan kelebihan selaku tuan rumah mengulangi pencapaian dua tahun lalu, mara ke pentas akhir selepas aksi terhenti di pusingan ketiga tahun lalu.

Kata Aifa yang baru pulih kecederaan, dia kini sudah bersedia dan yakin mampu memberi yang terbaik buat negara pada penampilan kelima di Kejohanan Remaja Dunia.

"Dalam acara berpasukan, kami tidak berdepan sebarang tekanan namun saya dalam acara individu saya akan cuba berusaha untuk mara sejauh mungkin.

"Berdasarkan laluan, undian dalam aksi individu sangat baik jadi saya akan gunakan peluang itu untuk memperbaiki pencapaian tahun lalu yang mana saya tewas dalam aksi 16 terbaik," katanya yang mengalami kecederaan lutut Januari lalu.

Aifa yang ditemui selepas sidang media kejohanan berkenaan berkata, corak permainannya menampakkan peningkatan dan ia semakin baik selepas pulih daripada kecederaan lutut.

Untuk rekod pencapaian terbaik pemain negara dalam acara lelaki menerusi Ng Eain Yow yang muncul juara pada 2016 manakala bagi kategori wanita, Nicol David pernah bergelar juara sebanyak dua kali iaitu pada 1999 dan 2001.

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 6:21pm
d