arena

Ada sinar buat Hafizh

Oleh Azlan Muhammad Zain

"ADA cahaya di hujung terowong". Mungkin itu perumpamaan sesuai digambarkan terhadap nasib pelumba MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Kariernya di MotoGP dijangka kembali bersinar apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan satu perbincangan bersama PETRONAS Yamaha SRT akan berlangsung dalam tempoh beberapa hari lagi.

"Hujung bulan ini saya akan bertemu Hafizh, PETRONAS dan Sepang International Circuit (SIC) bagi membincangkan masa depan pelumba itu.

"Pendirian saya mahu memastikan dia berada dalam pasukan Malaysia. Kita sudah melakar sejarah tahun lalu apabila PETRONAS, Yamaha dan SIC mewujudkan pasukan milik Malaysia (PETRONAS Yamaha SRT) dan apabila wujud peluang untuk senaraikannya, saya harap ia tidak dibazirkan," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) antara Institut Sukan Negara (ISN) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Masa depan Hafizh kabur selepas kontraknya bersama Red Bull KTM Tech 3 berakhir hujung musim nanti.

Arena Metro melaporkan PETRONAS Yamaha SRT bakal mempunyai satu kekosongan dengan pelumbanya dari Perancis, Fabio Quartararo menarik minat Monster Energy Yamaha MotoGP yang dijangka kehilangan Valentino Rossi yang mungkin bersara hujung musim nanti.

"Namun saya tidak boleh membuat keputusan berseorangan dan perlu berbincang dengan penaja terbesar, PETRONAS serta pasukan untuk menyenaraikan Hafizh berlumba untuk negara," katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 6:44pm
d