arena

'Pastikan mereka tak ambil bahagian!'

Oleh Azlan Muhammad Zain

DUA bekas tekong emas negara, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak merasai bahang penggantungan dikenakan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), hujung bulan lalu.

Mereka terpaksa berputih mata terlepas kejohanan pertama apabila tidak dibenarkan beraksi di Kejohanan Sepak Takraw Majlis Kebajikan Dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) 2019 di Terengganu dari Khamis hingga Ahad ini.

PSM menerusi sepucuk surat kepada MAKSAK Malaysia menjelaskan kedua-dua pemain berkenaan tidak dibenarkan bermain pada kejohanan di Stadium Negeri, Kuala Terengganu itu.

PSM menjelaskan ketetapan Majlis Tertinggi pada 26 Jun mengambil empat keputusan terhadap kedua bekas tekong berkenaan iaitu menggugurkan sebagai atlet sepak takraw negara, mengeluarkan dari skuad kebangsaan, dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib dan digantung sementara dalam sebarang aktiviti sepak takraw.

"Keputusan PSM juga terpakai bagi Kejohanan Sepaktakraw MAKSAK 2019 mulai 25 hingga 28 Julai di Stadium Negeri.

"Maka sila pastikan kedua-duanya tidak mengambil bahagian," menurut surat PSM berkenaan yang tersebar di media sosial.

Difahamkan Zulkifli sepatutnya turun mempertahankan kejuaraan diraihnya tahun lalu mewakili Terengganu manakala Syahir dijangka mewakili Kuala Lumpur.

Zulkifli adalah kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu manakala Syahir bekerja di Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Kuala Lumpur.

Kedua-duanya disingkir PSM atas alasan disiplin selain digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan.

Bagaimanapun mereka tampil menafikannya apabila mendedahkan ia berpunca daripada skim elaun PSM yang tidak telus dan adil.

Keadaan dijangka lebih buruk kepada Syahir dan Zulkifli apabila turut tidak dapat diturunkan pada saingan Piala Emas Khir Johari yang dijadual berlangsung dari 30 Julai hingga 4 Ogos nanti.

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 10:18pm
d