arena

Peaty kekal raja kuak dada

Oleh Agensi

PERENANG Great Britain, Adam Peaty menjuarai acara 100 meter kuak dada di Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan - pingat emas ketiganya berturut-turut dalam acara itu, hari ini.

Perenang berusia 24 tahun itu mencatat 57.14 saat mengatasi rakan senegara, James Wilby yang meraih perak dengan catatan 58.46s dan perenang China, Yan Zibei gangsa, 58.63s yang juga rekod baharu Asia.

Peaty yang lima tahun tidak tewas dalam kejohanan utama akan berentap dalam acara 50 meter esok.

Dia memecahkan rekod dunianya sendiri pada separuh akhir semalam dengan muncul perenang lelaki pertama mencatat masa di bawah 57 saat.

Walaupun masih berminat mengatasi rekod baharunya itu, dia tetap berpuas hati dengan catatan 57.14 saat.

"Saya melakukan kesilapan pada jarak pertama, memaksa diri meningkatkan kelajuan. Tetapi yang paling penting saya masih belajar.

"Saya selalu belajar, berusaha memperbaiki diri dan paling penting Olimpik tahun depan.”

Perenang sensasi Britain itu mencatat 15 masa terbaik acara 100 meter kuak dada dan menjadi perenang lelaki pertama meraih tiga kejuaraan dunia dalam acara itu.

Peaty sebelum ini berkongsi rekod dunia acara 100 meter bersama perenang Amerika Syarikat, Brendan Hansen dan perenang Hungary, Norbert Rozsa.

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 10:56pm
d