arena

FAP dah tahu lebih awal...

Oleh Manan Samad dan Lokman Zainal Abidin

SELEPAS banyak pihak tampil pelbagai telahan termasuk menyalahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gara-gara kegagalan Pulau Pinang untuk beraksi di Liga Super musim depan, badan induk kebangsaan itu tampil dengan kenyataan agak mengejutkan.

“Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) sebenarnya sudah tahu mereka akan dikenakan hukuman pemotongan enam mata oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Ia dimaklumkan FIFA secara terus kepada FAP sejak bulan lalu lagi. Justeru, tidak ada sebab mengapa FAP mesti terkejut dengan hukuman itu. FIFA dan FAP saling berutus surat mengenai perkara itu dan kami di FAM, hanya diberikan salinan setiap surat berkenaan saja.

“Kami di badan induk, cuba sedaya upaya untuk membantu FAP dalam kes ini tetapi FIFA tetap dengan keputusan memotong enam mata Pulau Pinang dan ia tidak boleh dirayu,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Stuart berkata, pengurusan baharu FAP sudah berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan segala masalah berbangkit termasuk tunggakan gaji ke atas pemain import mereka, Reinaldo Lobo yang menyarung jersi Harimau Kumbang pada musim 2015 hingga 2017.

Hanya disebabkan salah faham berhubung kadar tukaran mata wang asing, FIFA menjatuhkan hukuman berkenaan dan akibatnya, tempat Pulau Pinang di Liga Super akan diambilalih PDRM. “Ia sesuatu yang amat malang buat Pulau Pinang. Tetapi kami harap ia bakal menjadi pengajaran buat semua pasukan,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 12:32am
d