arena

Seladang buru juara

Oleh Syazwan Msar

TEWAS kepada Kedah dalam saingan Liga Super baru-baru ini, bukan kayu pengukur skuad Seladang akan mengulangi keputusan sama, malah sebenarnya memberi ruang untuk memperkemaskan lagi kesebelasan utama menjelang perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini.

Pengendali Perak, Mehmed Durakovic nyata optimis pemainnya sekarang ini mempunyai mentaliti bergelar juara seterusnya memberikan persembahan terbaik di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau berkata, banyak pihak yang melihat kekalahan Perak kepada Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar sebelum ini adalah petanda skuad Seladang mungkin berhadapan situasi sukar untuk merobek gawang Helang Merah.

“Saya boleh katakan perlawanan dalam saingan Liga Super dan pertemuan di peringkat akhir merebut piala adalah berbeza. Hanya pasukan yang kurang melakukan kesalahan atau bermain dengan baik boleh bergelar juara.

“Tewas bukannya bermaksud menyerah kalah kerana kita akan bangkit dan mencatatkan keputusan positif kerana sebagai jurulatih sudah pasti mahukan kemenangan untuk pasukan,” katanya, di sini.

Perak bukan saja meraih suntikan semangat menjelang perlawanan akhir Piala FA, malah menghumban Kuala Lumpur ke saingan Liga Perdana musim depan selepas menewaskan The City Boys 2-1 dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Perak, malam kelmarin.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Mehmet Durakovic menutup kempen di tangga kelima dengan 33 mata hasil lapan kemenangan, sembilan seri dan lima kalah.

Dua jaringan Raianderson Da Costa Morais atau Careca yang disempurnakan pada minit ke-31 dan 67 memastikan kemenangan Bos Gaurus.

Sementara itu, Mehmed berkata, walaupun ada beberapa pemain utama dibelenggu kecederaan, mereka kemungkinan sempat pulih menjelang final Piala FA.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 6:00am
d