arena

Piala Malaysia uji The Cops

Oleh Nazri Abu Bakar

SELANGOR dan Melaka United (MU) dilabel skuad pilihan menerajui saingan Kumpulan D untuk ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Jurulatih PDRM, E Elavarasan berkata skuad bimbingannya bersama FELDA United dilihat bukan pilihan dalam kumpulan itu dan fokus terarah kepada prestasi mantap The Red Giants dan skuad Hang Tuah.

Menurutnya, diatas kertas dua skuad berkenaan bakal melepasi halangan saingan namun FELDA juga antara pasukan sukar diramal selepas kemenangan 5-1 keatas Kedah pada saingan terakhir Liga Super.

Apapun katanya, The Cops tetap memberi saingan getir kepada semua lawan termasuk The Fighters dalam misi memburu satu slot.

“Ketika ini fokus kami adalah membentuk keserasian dan persefahaman lebih baik selepas menamatkan saingan Liga Perdana, minggu lalu.

“Kejayaan mara ke Liga Super adalah azimat berharga buat pemain untuk menterjemahkan persembahan positif dalam kumpulan terbabit,” katanya.

Sentuhan Elavarasan ditagih mencipta kejutan buat The Cops selepas dia memberi`nafas baru selepas mengambil alih pasukan itu yang tenat pada pertengahan saingan liga.

Kecemerlangannya melonjak kedudukan pasukan daripada tidak berpeluang ke kelompok utama kembali meletakkan The Cops dalam skuad elit musim depan.

Elavarasan mahu mental anak buahnya terus kental dalam misi penting walaupun menyedari semua lawan adalah daripada carta Liga Super berbanding skuadnya beraksi dalam Liga Perdana.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 4:08pm
d